REMPAH SEGERA MEE BANDUNG
Nama: Email:

Pertanian Adalah Pekerjaan Terbaik

Kerja-kerja berkaitan pertanian merupakan usaha yang berhadapan dengan ketidakpastian. Sedang ketidakpastian itu pula merupakan satu unsur tawakal kepada Allah. Kerana itu Imam Syafie pernah menyatakan pandangannya bahawa pertanian adalah pekerjaan terbaik.Walaupun hasil pertanian itu belum pasti, tetapi tawakal ini akan hadir bersama dengan pahala.

Pertanian terbahagi kepada dua iaitu komoditi dan makanan. Komoditi pertanian jelas beliau, berkait dengan permintaan dan penawaran yakni kehendak. Tetapi, makanan dalam pertanian merupakan bekalan yang menjadi keperluan asas.

Sesungguhnya, bidang pertanian adalah bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada golongan petani sekiranya ia dilaksanakan secara bersungguh-sungguh di mana bidang pertanian bukan sahaja satu perniagaan malah ia juga adalah satu ibadah

Walaupun pertanian kini diterima sebagai perniagaan, tetapi tidak kesemuanya boleh dianggap sebagai perniagaan.

Pesawah mencipta sebuah jentera bajak


Orang ramai melihat demonstrasi jentera pelbagai guna prapenanaman padi yang boleh melakukan lima fungsi kerja ciptaan seorang pesawah, Teh Bah Chuan di Alor Star, semalam.

PENDANG. – Teh Bah Chuan, 47, hanyalah seorang pesawah biasa di Bukit Raya dekat sini yang mewarisi pekerjaan itu daripada bapanya sebelum terlibat dengan kerja-kerja penyenggaraan mesin jentuai padi.

Walaupun menamatkan pelajaran setakat tingkatan tiga, Bah Chuan cekap dan mahir dalam penyenggaraan mesin jentuai padi sehingga membolehkan dia mendapat ilham untuk mencipta sebuah jentera bajak yang mempunyai lima fungsi.

Lebih menarik, jentera ‘bajak lima dalam satu’ itu yang dipercayai satu-satunya seumpama itu di negara ini, mampu menjimatkan kos sehingga puluhan juta ringgit.

“Jika ia digunakan secara meluas di negara ini, saya jangka ia boleh menjimatkan secara keseluruhannya RM20 juta kos diesel dan RM40 juta kos pembajakan sawah padi,” katanya pada sidang akhbar di kilang syarikat pengedar beras Jati, Serba Wangi Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menurutnya, jentera bajak tersebut bukan sahaja boleh melakukan kerja-kerja membajak sawah tetapi juga boleh menyisir tanah, menekan rumput rumpai ke dalam tanah, meratakan tanah, menyembur racun rumpai di batas sawah dan meracun siput.

Bah Chuan berkata, kelima-lima kerja itu boleh dilakukan serentak dalam satu masa oleh jentera berkenaan yang dihasilkannya sejak sembilan bulan lalu dengan kos kira-kira RM100,000.

“Asalnya ia adalah jentera biasa yang saya beli secara terpakai dan dipertingkatkan kegunaannya untuk kelima-lima kerja itu.

“Fungsinya dibuat berdasarkan pada masalah yang dihadapi oleh para petani iaitu masalah tanah tidak rata sehingga menjejaskan hasil pengeluaran padi, masalah masa dan juga peningkatan kos,” jelasnya.

Katanya, penggunaan jentera dan mesin bajak dalam industri padi sudah meluas, cuma ia terpaksa dilakukan secara berasingan dan mengambil masa yang lama.

Jentera bajak sedia ada, tambahnya, mungkin mengambil masa sehingga lima hari untuk menyelesaikan kerja-kerja yang diperlukan sebelum kerja menabur benih padi dijalankan bagi kawasan seluas kira-kira satu hektar tetapi jentera ciptaannya itu hanya memakan masa satu jam.

Menurut Bah Chuan, bantuan kewangan oleh syarikat Serba Wangi Sdn. Bhd. yang menyokong projek tersebut membolehkan jentera lima dalam satu itu dihasilkan.

Katanya, dengan kerjasama syarikat beras itu, mereka sedang berusaha untuk mengkomersialkan jentera berkenaan yang diyakini dapat membantu meningkatkan lagi pengeluaran beras negara.

Orang Kedah tak susah, tak miskin

Orang Kedah akan mengaku dan mengangguk apabila berhadapan dua perkara ini. Pertama ‘ya’ memang miskin, memang susah kalau diminta isi borang bantuan untuk golongan miskin. Ini tradisi lama, kemudian pilih-pilih pula orang aku atau orang hangpa, demikian yang lama-lama dulu.

Kedua ‘tidak’ apabila melihat gaya orang Kedah ditempat membeli belah, rombongan dan majlis kenduri.

Dua gaya hidup seperti inilah barangkali negeri Kedah tidak gah seperti negeri-negeri lain, kerana media dan penulis jahat tidak dapat mencari fakta yang mana satu susah miskin dan yang mana satu tidak kaya dan tidak miskin.

Miskin bererti tidak berharta benda, serba kekurangan, melarat, papa kedana. Manakala susah bererti perasaan tidak puas hati, perasaan tidak senang.

Begitulah secara rengkas.

Kedua-dua makna perkataan ini jika hendak diukur sama ada benar-benar miskin, susah, rasanya-rasanya tidak adalah orang Kedah yang susah dan miskin. Bukti utama apabila menjelang hari perayaan, pembukaan gedung atau perasmian upacara.

Ambil saja contoh pertama: Pembukaan Pasaraya Tesco. Hari pertama pembukaannya pasaraya yang melaut luas itu sesak dengan orang Kedah. Mereka turun dari hujung kampung Kuala Nerang sampailah ke tampan sempadan Bandar Baru. Bukan apa cuma nak tenguk kalau-kalau ada barang yang dibuat dari kepala manusia jadi mangkuk atau nira nipah jadi minyak wangi dari Paris.

Betali arus. Himpit berhimpit. Sesak. Pegang belek, pegang belek akhirnya letak. Antara satu sama lain memandang dengan rasa megah, kononnya mereka sudah menyikut kemajuan dan dapat membantu satu pelaburan besar.

Memang begitu orang Melayu Kedah kalau ada di mana-mana gedung perniagaan yang baru buka. Tabiat mengunjungi seperti ini sebenarnya menggambarkan kejahilan kita sebagai pengguna. Apa yang ada melainkan yang itu, itu juga.

Cuma yang menjadi kagum sebagai pengguna yang tidak tahu apa itu tipu daya, hanyalah gaya dan teknik barangan itu diletak, dihias dan direka bentuk.

Tetapi orang Kedah tetap pergi di samping berebut-rebut hendak parking kereta dengan bayaran.

Kesesakan seperti ini bukan kepada gedung perniagaan sahaja, tetapi menjalar kepada Pasar Malam. Pergilah mana-mana Pasar Malam pun, kita tidak akan berjumpa mereka yang susah dan miskin. Kalau ada hanya seorang dua yang jadi pengemis di tepi kaki lima.

Yang peliknya, bukan semua atau satu gerai yang diborong, hanya seketul belacan atau sekilo ayam yang dibeli. Hebat, betapa orang-rang Kedah cukup pandai menjaga masa, mencipta masa dan menggunakan masa. Yang peliknya pula, keluar sebelum maghrib, dekat-dekat matahari hayun temayun dan pulang hampir jam 10 malam.

Ada lagi orang Kedah yang tunjuk, bukan kaya dan miskin yang jadi ukuran, tetapi semangat. Pergilah tenguk apabila ada perlawanan bola sepak di stadium, berapa ramai orang Kedah sanggup berebut-rebut beli tiket yang kononnya ingin memberi sokongan. Tak cukup dengan itu, terkam lagi kalau perlawanan itu di Kuala Lumpur.

Kalah pun sorak, menang pun sorak!

Siapa kata orang Kedah susah dan miskin? Pergilah musim membajak sawah. Tuan punya hanya bercekak pinggang tengok injin besi itu meratah lumpur dan sambau. Cukup masa bayar. Siapa kata petani Kedah susah? Musim menuai, berdiri di atas batas sambil hisap rokok, tenguk saja jentera menuai. Cukup masa isi dalam guni angkut ke kilang. Kita berapa tan, harga pun dibayar.

Kerja petani cuma bakar jerami saja.

Siapa kata rakyat Kedah miskin dan susah? Bulan cuti sekolah sampai tak termakan kenduri. Sehari tiga atau empat kenduri. Jangan tanya apa menunya tetapi berapa pula yang hendak sedekah. Katanya orang Kedah, pergi makan kenduri, bukan saja makan, sedekah lagi kepada tuan kenduri. Tapi malang amalan begitu tak pula ketika ziarah orang mati.

Siapa kata orang Kedah susah atau miskin? Kalau hari Jumaat, pergilah ke mana-mana kariah pun. Tepi jalan bercerotet kereta, dalam kawasan masjid bersesak kereta dan lain-lain tempat juga begitu. Motosikal sudah nampak seperti besi buruk.

Jadi siapa yang miskin atau susah dalam negeri Kedah ini?

Apapun satu persoalan akan timbul, betulkah orang Kedah tidak miskin atau susah? Atau betulkah orang Kedah miskin atau susah? Jangan cari jawapan di Pasar Malam ketika mereka asyik pilih buah epal hijau. Jangan tanya kepada mereka yang mengunjungi kenduri dengan hadiah bunga telur RM5.00 satu. Jangan tanya mereka yang menganggap Tesco adalah segala-galanya dan lubuk membeli belah, apa lagi jangan tanya kepada mereka yang sedang minum Copicino atau kopi Maxico di hotel enam binatng di Langkawi.

Cubalah masuk ke hujung rimba, tepi sempadan negeri, misalnya di kawasan Kuala Nerang. Di sana ada sekumpulan rakyat yang masih ‘peraq’ yang menyelit parang dipinggang, mencari haruan di baruh dan bela ayam dan burung dan berhuma. Di sana akan terjumpa sebuah motosikal tanpa lesen, mampu memuat tiga anak sekaligus dengan asap hitam di ekzosnya.

Rupa-rupanya susah dan miskin tidak ada di Tesco atau di Pasar Malam atau ditempat kenduri di negeri Kedah. Tetapi susah dan miskin ada kepada mereka yang susah dan miskin itulah.
.